Sunday 23 September 2012

Tafsiran kaya

Dengan Nama Allah
Yang Maha Pemurah
&
Maha Penyayang

Alangkah bahagianya sekiranya Allah s.w.t mengurniakan 2 kekayaan kepada kita, iaitu kaya harta dan kaya jiwa.

Kita sedar bahawa manusia kini lebih mengejar kekayaan harta berbanding kekayaan jiwa. Apabila bercakap mengenai harta, pasti semua orang berfikir ia pasti melibatkan duit. Kaya harta mampu dikesan dan dilihat oleh mata yang memandangnya. Kaya harta dapat diukur dengan melihat jumlah aset yang dimiliki seperti rumah, kereta, tanah, wang dan sebagainya. Harta mampu menjadi satu motivasi kepada seseorang untuk mengerahkan dan mengorbankan seluruh masa, tenaga, dan nyawa semata-mata demi meraih kekayaan HARTA.

Kita terlupa, ramai hartawan diluar sana masih mengeluh walau dikurniakan harta setinggi gunung. Mereka mengeluh kerana merasa masih ada kekurangan. masih ada yang tidak cukup. masih memerlukan sesuatu untuk membuat hidupnya sempurna, serba lengkap. Ketahuilah mereka sebenarnya miskin dari satu aspek. Aspek yang terpenting dalam hidup seseorang, itulah aspek rohani.

Ramai orang tidak faham malah tidak tahu apakah itu kaya jiwa. Kekayaan jiwa ialah ketenangan dalam hati untuk menghadapi ujian dalam kehidupan. Ianya bersifat abstrak, tidak dapat dilihat oleh mata. Ia hanya boleh dirasai dalam diri. Kaya jiwa hanya dapat dikecapi oleh orang yang mempunyai sifat syukur. Orang yang bersyukur sentiasa merasa cukup. Walau nikmat yang diberi itu sedikit, tetapi bagi orang yang bersyukur, dia sentiasa merasa bahawa itu adalah nikmat Allah s.w.t yang terbesar buatnya dan tidak akan disia-siakan.

Rasulullah s.a.w bersabda : " Sungguh ajaib keadaan orang mukmin. Sesungguhnya semua urusan mereka berada dalam keadaan baik. Dan tiada yang memperoleh keadaan ini melainkan orang yang beriman sahaja. Sekiramya dia dianugerahkan sesuatu, dia bersyukur, maka jadilah anugerah itu baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa musibah, dia bersabar, maka jadilah musibah itu baik untuknya ".
(Riwayat Muslim)

Hadis diatas jelas menerangkan keadaan orang yang sentiasa bersyukur. Hanya orang yang sentiasa bersangka baik dengan Allah dan bersyukur dapat mengecapi kekayaan jiwa. Jika kita dapat sesuatu yang diidamkan, kita bersyukur. Jika kita tidak dapat apa yang dihajati, kita bersabar. Mungkin itulah yang terbaik buat kita. Ingatlah firman Allah " Sesungguhnya Aku Mengetahui apa yang tidak kamu ketahui ". Boleh jadi sesuatu yang kita idam-idamkan masa kini akan memberi kesan buruk dalam kehidupan kita didunia ataupun diakhirat kelak.

Antara tips yang boleh diaplikasikan ialah dengan melihat kekurangan yang ada pada orang lain. Hanya apabila kita memandang kekurangan orang lain, ia dapat menjadikan kita sentiasa bersyukur dengan apa yang kita ada sekarang. Bersyukurlah kerana kita dikurniakan kasut, sedang orang lain tidak dikurniakan kaki. Walau kasut yang digunakan itu koyak rabak, itu tidak memberi kesan sedikit pun dalam diri (seperti malu untuk berhadapan dengan orang lain).
Oleh itu marilah kita berlumba-lumba menjadi kaya. Bukan setakat kaya harta sahaja, tetapi yang lebih utama kaya jiwa. Jiwa yang sentiasa berysukur, itulah golongan yang beroleh kemenangan hakiki.

Wallahu A'lam   



No comments:

Post a Comment