Wednesday 20 November 2013

Ghulam...sebuah kisah dari tafsiran surah Al-Buruj


Assalamualaikum W.B.T

Siapa kat sini pernah dengar kisah tentang bayi yang boleh bercakap?

Dikisahkan suatu masa dahulu ketika dibawah pemerintahan seorang raja yang sangat zalim, baginda telah mengarahkan rakyatnya menggali parit besar dan dinyalakan unggun api didalamnya. Sesiapa yang mengaku bahawa hanya Allah Tuhan yang patut disembah dan tidak mengaku baginda sebagai Tuhan perlu terjun kedalam parit tersebut. Maka semua orang yang beriman tanpa teragak-agak terjun kedalam parit dan akhirnya tibalah giliran seorang wanita yang sedang mengendong anaknya, teragak-agak untuk terjun kerana kasihankan anaknya. Maka dengan kuasa Allah S.W.T, bayi itu boleh berkata-kata kepada ibunya bahawa pilihan ibunya adalah pilihan yang tepat. Maka terjunlah wanita itu bersama anaknya kedalam api yang menjulang-julang......

Siapa pernah dengar kisah ini? Kisah ini merupakan rentetan dari kisah seorang ghulam (budak kecil yang sangat bijak) yang hidup pada zaman sebelum lahirnya Nabi Muhammad S.A.W. 

Jom ikuti kisah teladan ini.....

Daripada Suhaib r.a, bahawasanya Rasulullah S.A.W telah bersabda (mafhumnya) : "Pada zaman dahulu terdapat seorang raja yang mempunyai seorang ahli sihir. Tatkala ahli sihir itu telah (mencapai usia) tua", dia berkata kepada raja : "Patik telah tua (dan jika tuanku perlukan pengganti) maka hantarkanlah kepada patik seorang ghulam untuk patik ajarkannya ilmu sihir". Raja pun kemudiannya menghantar seorang ghulam untuk tujuan tersebut. Secara kebetulan dalam perjalanan (untuk belajar ilmu sihir), ghulam telah bertemu dengan seorang rahib (ahli ibadah yang mengikuti ajaran Nabi Isa), lalu dia duduk dan mendengar ajaran rahib tersebut. Kemudian ghulam itu tertarik dengan ajaran rahib sehingga dia terlewat sampai ketempat ahli sihir yang mengajarnya. Apabila sampai, dia telah dipukul oleh ahli sihir itu. Kemudian dia telah mengadu kepada rahib yang ditemuinya tadi. Rahib tersebut berkata : "jika kamu takut dipukul oleh ahli sihir itu, berilah alasan dengan berkata : "Aku terlambat kerana ditahan (untuk menyelesaikan urusan yang disuruh oleh) keluargaku". Dan jika kamu takutkan keluargamu (kerana terlewat balik ke rumah) maka, jawablah kepada mereka : "Aku ditahan oleh ahli sihir itu".

Pada suatu hari ketika dia berulang-alik (diantara rumahnya dan rumah ahli sihir), dia telah terserempak dengan seekor binatang besar yang menghalang perjalanan orang ramai. Lantas dia berkata dalam hatinya, "hari ini aku ingin tahu siapa yang lebih baik ajaranyya? Ahli sihir ataupun rahib?" Lalu dia mengambil seketul batu sambil berkata : "Ya Allah, jika ajaran rahib itu lebih baik daripada ajaran ahli sihir, maka matikanlah binatang besar ini supaya orang ramai dapat meneruskan perjalanan mereka". Kemudian dia melontar batu tersebut dan terkena binatang besar itu lalu binatang itu mati serta merta. Orang ramai yang terhalang perjalanan dapat meneruskan perjalanan mereka dengan aman.

Ghulam memberitahu rahib mengenai pristiwa itu lantas rahib pun berkata : "Wahai anakku, engkau kini (berada pada kedudukan yang) lebih utama daripadaku dan engkau telah sampai ke kemuncak urusan ini sebagaimana pandanganku. Sesungguhnya kamu akan diuji. Sekiranya engkau diuji, janganlah menunjukkan tentang diriku". (Kemudiannya) Ghulam telah dapat mengubati penyakit buta dan sopak. Dia telah mengubati orang ramai daripada berbagai penyakit.

Seorang pendamping raja yang buta telah mendengar berita itu lalu datang dengan berbagai hadiah lantas berkata : "Nah. Ini semua akan menjadi milikmu jika kamu dapat menyembuhkan penyakit ini". Jawab ghulam : "Saya tidak dapat menyembuhkan sesiapa. haya Allah yang boleh menyembuhkannya. Sekiranya kamu beriman kepada Allah, saya akan berdoa kepada Allah agar menyembuhkan penyakitmu ini". Ketika itu juga dia beriman kepada Allah (dan apabila didoakan oleh ghulam matanya) disembuhkan oleh Allah.

Kemudian dia mendampingi raja dalam satu majlis sebagaimana sebelumnya. Raja pun bertanya kepadanya : "Siapakah yang mengembalikan penglihatan kamu?" Jawab pendamping itu : "Tuhanku". Raja bertanya : "Adakah kamu mempunyai Tuhan yang lain daripadaku? "Jawab pendamping "Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah". Lalu pendamping itu telah ditahan dan diseksa berulang kali sehingga dia menunjuk kepada ghulam. Kemudian ghulam pun dibawa menghadap raja lalu raja bertanya : "Wahai anakku sesungguhnya sihir kamu telah melampaui batas kerana telah dapat mengubati penyakit buta dan sopak. Kamu telah buat itu dan ini. "Ghulam menjawab : "Sesungguhnya saya tidak dapat menyembuhkan sesiapa, hanya Allah yang boleh menyembuhkan. "Ghulam kemudiannya ditahan dan diseksa berulang kali sehingga dia memberitahu tentang rahib. Kemudian rahib telah dibawa menghadap raja dan dititahkan kepadanya : "Kembalilah kepada agama asalmu." Tetapi rahib enggan. Raja kemudiannya menitahkan supaya rahib digergaji kepala hinggalah badannya terbelah dua.

Kemudian tibalah giliran pendamping raja lalu dititahkan kepadaya : "Kembalilah kepada agama asalmu." Dia enggan. lalu raja menitahkan supaya digergaji dari kepala hinggalah badannya terbelah dua.

Dan tibalah pula giliran ghulam lalu dititahkan kepadanya : "Kembalilah kepada agama asalmu." Dia enggan. lalu ghulam telah diserahkan kepada beberapa orang pembesar dan raja bertitah kepada mereka : "Pergilah kamu bersamanya ke bukit sekian-sekian. Apabila sampai dipuncaknya, arahkan dia supaya meninggalkan agamanya. Jika tidak campakkanlah dia dari atas bukit itu." Mereka pun membawa ghulam dan mendaki bukit tersebut, lalu ghulam berdoa (mafhumnya) : "Ya Allah, hindarilah aku daripada bahaya mereka dengan kehendak-Mu". Tiba-tiba bergegarlah bukit itu sehingga mereka yang membawanya terjatuh kesemuanya.

Kemudian ghulam berjalan balik menemui raja. lalu raja berkata : "Apa yang telah mereka lakukan? "Ghulam menjawab : "Allah telah menghindarkan diriku daripada mereka".

Raja kemudiannya menyerahkan ghulam kepada beberapa orang pembesar (lain) dan bertitah kepada mereka : "Bawalah dia bersama kamu dan pergilah ke tengah-tengah lautan dengan menaiki kapal. Disana, arahkan dia kembali kepada agama asalnya. Jika tidak, humbankanlah dia (ke laut)." Lalu pergilah mereka bersamanya kesana. (Apabila sampai), ghulam pun berdoa (mafhumnya) : "Ya Allah, hindarilah aku daripada bahaya mereka dengan kehendak-Mu". Maka pecah lah kapal dan tenggelamlah mereka semuanya.

Kemudian ghulam berjalan kembali menemui raja (untuk kali kedua) dan raja pun bertanya kepadanya : "Apa yang telah mereka lakukan?" Ghulam menjawab : "Allah telah menghindarkan diriku daripada mereka".

(Akhirnya) ghulam pun berkata : "Wahai raja, engkau tidak akan dapat membunuhku melainkan jika engkau menurut arahanku". Raja bertanya : "Apa dia?" Ghulam menjawab : "Kumpulkan segala rakyat jelata disatu kawasan lapang, kemudian salib dan gantungkan aku diatas tiang. Ambil anak panahku dari bekasnya, kemudian letakkan busur. Bacalah (ayat yang mafhumnya) : "Dengan nama Tuhan ghulam ini". Kemudian panahlah aku. Jika kamu berbuat demikian, kamu akan berjaya membunuhku."

Raja pun menitahkan supaya semua rakyat jelata berkumpul disatu tempat yang telah dikhaskan. Ghulam pun disalib dan digantung di satu tiang. Diambil anak panah (kepunyaan ghulam) daripada bekas dan diletakkan dibusurnya. Kemudian raja membaca (ayat yang mafhumnya) : "Dengan nama Tuhan Ghulam ini," lalu dilepaskan anak panah itu dan tepat mengenai pelipis ghulam. Ghulam meletakkan tangan diatas pelipisnya dan meninggal dunia.

Lantas sekelian rakyat jelata (yang menyaksikan peristiwa itu) berkata : "Kami beriman dengan Tuhan ghulam".

Kemudian hal itu disampaikan kepada raja dan dikatakan kepadanya : "Apakah tuanku tahu bahawa apa yang tuanku takutkan selama ini? Demi Allah sesungguhnya telah berlaku apa yang  tuanku takutkan itu. Sesungguhnya seluruh rakyat jelata telah beriman dengan Tuhan ghulam itu".

Raja telah mengarahkan rakyatnya menggali parit dipersimpangan jalan. (Disinilah mereka dikenali sebagai Ashabul Ukhdud yakni orang-orang yang menggali parit). Kemudian dihidupkan api (sehingga marak) menyala didalamnya. Kemudian raja bertitah : "Sesiapa yang enggan kembali kepada agama asalnya akan dihumban kedalam parit ini". Ramailah yang telah dicampakkan kedalam parit itu (kerana enggan menurut perintah raja). Sehinggalah sampai giliran seorang perempuan yang mendukung bayinya. Dia kelihatan sedikit teragak-agak. (Lalu dengan izin Allah) bayinya berkata : "Wahai ibu. Bersabarlah...sesungguhnya ibu berada dilandasan yang benar".

Surah Al-Buruj : 1-10

1) Demi langit yang mempunyai gugusan bintang
2) Dan demi hari yang dijanjikan
3) Demi yang menyaksikan dan yang disaksikan
4) Binasalah orang-orang yang membuat parit (iaitu para pembesar Najran di Yaman)
5) Yang berapi (yang mempunyai) kayu bakar
6) Ketika mereka duduk disekitarnya
7) Sedang mereka menyaksikan apa yang mereka perbuat terhadap orang-orang mukmin
8) Dan mereka menyiksa  orang-orang mukmin itu hanya kerana (orang-orang mukmin itu) beriman kepada Allah yang Maha Perkasa, Maha Terpuji
9) Yang memiliki kerajaan langit dan bumi. Dan Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu
10) Sungguh, orang-orang yang mendatangkan cubaan (bencana,membunuh,menyiksa) kepada orang-orang mukmin laki-laki dan perempuan lalu merekatidak bertaubat, maka mereka akan mendapat azab Jahannam dan mereka akan mendapat azab (neraka) yang membakar

Wallahu A'lam

No comments:

Post a Comment