Sunday 28 December 2014

kita sudah melangkaui had yang dibenarkan

Bismillah....

Banyak sungguh ujian kita kan wahai hamba Allah.

Allah sudah memberi hint. Tidakkah kita sedar? Kita sudah jauh. Jauh dari Allah. 

Sesungguhnya sesuatu bencana itu, apabila diturunkan oleh Allah s.w.t keatas kaum yang zalim, ia akan menimpa keatas setiap umat yang berada disekitar kawasan itu. Tidak kiralah alim atau zalim, semuanya terkena tempias. Allahu Akbar. Kisah Nabi Lut, kisah kaum thamud, kisah Nabi Nuh berlegar-legar dibenak fikiran.

Kenali sifat Allah s.w.t yang Maha Lembut.

1) Al-Lathif
Lathif ini kalau dilihat dalam kamus bermaksud gentle, kind, pleasant dan dalam bahasa melayunya adalah lembut. Tapi in arabic term ia membawa maksud 'lembut, bertahap-tahap'. 

Sebagai contoh. Allah s.w.t menyuruh kita memakan sesuatu yang halal lagi baik. Misalnya buah kurma. Adakah pokok kurma itu terjadi dengan sendirinya? Tiba-tiba sedebuk jatuh dari langit batang yang tegak kukuh berdiri menghasilkan buah yang ranum? Sudah tentu tidak bukan?

Setiap tumbuhan tumbuh mengikut fasa. Bertahap-tahap. Bermula dengan menanam benihnya, dibaja, disiram, kemudian barulah kita dapat melihat proses tumbesaran pokok kurma seterusnya. 

Begitu juga dengan sakit. Allah tidak akan menimpakan sesuatu penyakit itu kepada hamba-Nya secara tiba-tiba tapi semuanya bertahap. Disebabkan dia makan tidak menentu, makan dalam kuantiti yang banyak, minum ais, tidak memilih makanan yang berzat Alhasil selepas setahun dia ditimpa penyakit. Semuanya bertahap-tahap bukan?

Allah s.w.t Maha Lembut kerana Allah tidak menimpakan azab keatas sesuatu kaum secara tiba-tiba. Semuanya bertahap. Dimulai dengan ujian batuk-batuk ringan, namun masih ramai hamba-Nya tidak sedar tentang kesilapan diri. Allah datangkan pula selesema, tapi manusia masih tetap sombong dengan Allah. Allah uji lagi dengan demam panas. Namun alangkah angkuhnya manusia itu, masih lagi degil dan keras kepala untuk sujud menyembah-Nya. 

Adakah Allah itu zalim? Tidak ! Bahkan kita lah yang menzalimi diri kita sendiri. Allah bagi warning terlalu banyak kepada kita, tapi hati manusia itu keras. Masih tidak sedar dan terus meneruskan hidup dalam kelalaian.

2) Al-Halim
Halim juga kalau kita lihat dalam kamus membawa maksud gentle, patient juga dalam bahasa melayunya adalah lembut, santun. Tapi dalam kamus arab ia bermaksud 'lembut, menahan untuk marah'

Biasanya bila seseorang itu mahu marah, secara luarannya kita dapat lihat wajahnya bertukar merah, urat saraf mula timbul dan perkataan paling lazer keluar dari mulut. (emm wujud ke perkataan ni..?)Tapi nak cakapnya, biasanya kita dapat melihat perubahan raut wajah dan tindakan seseorang ketika sedang marah.

Kita bagi contoh situasi 'kanak-kanak main hujan'

~ Biasanya si ibu akan pergi mencari anaknya yang sedang bermain hujan. Piat telinga sambil membebel-bebel 'mak kata jangan main hujan nanti demam ! degil eh !' sambil tidak melepaskan piatan ditelinga anaknya. Bagi si ibu, itu adalah pengajaran dan nasihat buat si anak untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama.

~ Tetapi, bezanya 'Al-Halim' ni. Si ibu akan mencari anaknya yang sedang bermain hujan. Berbicara dengan lembut supaya si anak balik rumah, pergi mandi, rehat dahulu. Selepas itu barulah memberi nasihat tentang kesan bermain hujan. Si ibu memberi nasihat juga, tetapi bukan ketika sedang marah.

Sifat Allah s.w.t terhadap bani israel sangat Al-Halim. Allah menahan marah. Namun bani israel tetap angkuh, sombong dan mendustakan ajaran yang dibawa oleh rasul-rasul Allah. Maka Allah s.w.t telah mendatangkan suatu kaum yang lebih hebat dan kuat untuk mengalahkan kaum yang ingkar lagi takabbur.

Berbalik kepada situasi yang kita alami sekarang. Allah memberi ujian kerana Dia sayangkan kita. Kerana kebiasaan manusia hanya akan mencari Allah s.w.t hanya ketika ditimpa musibah. Sungguh ! Allah s.w.t merindukan saat hamba-Nya merintih pada-Nya, merayu pada-Nya dan supaya hamba itu berfikir tiada tempat lain yang boleh bergantung harap selain pada-Nya.

Surah Al-Ghafir : 60 
"Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan"

Ya Allah. Jadikanlah kami hambaMu yang sentiasa sedar tentang keagungan, kekuasaan dan kehebatan-Mu ya Allah. Jangan Engkau biarkan kami hidup didalam kelalaian dan kekufuran. Sesungguhnya hanya pada-Mu tempat kami meminta pertolongan dan hanya Engkau Ya Allah sebaik-baik tempat berlindung.

Wallahu A'lam

No comments:

Post a Comment